Tuesday, April 13, 2010

Pemutihan Gigi



Pengenalan

Rawatan pemutihan gigi adalah satu cara yang berkesan untuk mencerahkan warna asal gigi tanpa memotongnya. Ia mungkin tidak dapat menukarkan warna gigi tersebut sepenuhnya tetapi, mampu mencerahkan warna asal.

Hydrogen peroxide atau carbamide peroxide merupakan bahan aktif yang sering digunakan dalam produk pemutihan gigi.


Siapa yang memerlukan Pemutihan Gigi?

Pemutihan gigi sesuai bagi individu yang sihat, tiada tampalan gigi dan tiada masalah gusi. Rawatan ini berkesan untuk gigi yang berwarna kuning dan gigi yang mempunyai tanda kotoran (stain).

Doktor pergigian akan memeriksa status kesihatan pergigian anda terlebih dahulu sebelum mengesyorkan rawatan ini.


Bagaimana Proses Pemutihan dijalankan

Pemutihan gigi biasanya menggunakan cara pelunturan.

Mula-mula pelindung getah atau gel akan diletakkan pada gusi untuk melindungi tisu lembut mulut. Kemudian bahan pemutih disapu terus pada gigi atau menggunakan tray khas yang sesuai dengan mulut anda.


Lain-lain Prosedur Untuk Mencerahkan Warna Gigi

Pada masa ini terdapat penggunaan laser atau power whitening untuk pemutihan gigi. Cahaya atau laser dipancarkan ke permukaan gigi untuk mengaktifkan bahan kimia. Prosedur ini lebih cepat menghasilkan perubahan warna gigi yang dikehendaki.

Apakah Kesan Sampingan Rawatan Ini?

Sesetengah individu mungkin mengalami rasa ngilu (sensitif) semasa atau selepas rawatan. Ada juga yang mengalami rasa tidak selesa pada gusi, sakit tekak atau mendapati tompok-tompok putih di pinggir gusi . Gejala ini adalah sementara sahaja dan akan hilang dalam beberapa hari selepas selesai rawatan.

Dapatkan pemeriksaan doktor pergigian jika kesan sampingan ini berlarutan.


Berapa Lama Prosedur Pemutihan dijalankan?

Doktor pergigian mengambil masa selama satu jam sehingga beberapa kali lawatan bergantung kepada warna gigi dan teknik yang digunakan.


Berapa Kosnya?

Klinik pergigian kerajaan tidak menawarkan rawatan ini secara rutin. Ia dilakukan khas untuk mereka yang amat memerlukannya.

Di klinik pergigian swasta, harganya bergantung kepada cara dan teknik yang digunakan. Bayaran untuk penggunaan Laser atau power whitening adalah lebih mahal berbanding pelunturan biasa.

Anda dinasihatkan mendapat anggaran kos bertulis sebelum memulakan rawatan.


Bagaimana Penggunaan Produk Pemutih Gigi Di Rumah?

Terdapat pelbagai jenis produk pemutih gigi yang boleh digunakan di rumah, sama ada yang dibekalkan oleh doktor pergigian anda atau dibeli di kedai-kedai farmasi.

Pemutihan gigi adalah satu prosedur yang rumit. Dapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada doktor pergigian terlebih dahulu sebelum menggunakan produk ini.


Berapa Lama Gigi Akan Kekal Cerah?

Kesan rawatan bergantung pada individu. Lazimnya, gigi akan kekal cerah selama tiga tahun. Kesannya akan menjadi lebih singkat jika anda seorang perokok atau mengambil makanan/minuman yang boleh meninggalkan kesan pada warna gigi.

No comments:

There was an error in this gadget